Pages

Sunday, March 20, 2011

Bahana Facebook

Saya suami yang bekerja sendiri manakala isteri bekerja sebagai guru. Dalam perkahwinan kami selama 22 tahun banyak cabaran dihadapi, sama ada besar mahupun kecil. Semuanya kami lalui dengan tabah walaupun sesetengah perkahwinan yang mengalami pengalaman seperti kami mungkin membawa kepada perceraian. Kami masih mampu bertahan, dengan izin Allah SWT. Isteri mula mengenali facebook daripada kawan guru di sekolah. Apabila isteri menyebut mengenai facebook, saya awal-awal lagi tidak bersetuju dan memberikan beberapa kes kehancuran rumah tangga akibat facebook. Namun secara diam-diam, isteri membuka juga akaun facebook.


Mula-mula berkongsi kandungan facebook beliau dengan saya yang tak pandai guna facebook. Lama-lama beliau semakin bijak dan pandai menggunakan ciri-ciri dalam facebook. Entah macam mana, satu hari saya terfikir untuk melihat kandungan facebook beliau dan saya dapati ada satu mesej yang isteri saya hantar kepada satu nama yang dijumpai, berbentuk pertanyaan adakah orang itu B yang belajar dengannya dulu? Hati saya hancur bila saya dapati B yang dicari itu adalah bekas teman lelakinya. Lalu dengan sedikit pengetahuan mengenai facebook, saya membuka akaun dengan menggunakan nama hampir sama dengan nama B, lalu saya berpura-pura mencari isteri saya. Satu mesej dihantar, tidak lama, terus mendapat jawapan.


Saya dapat bayangkan betapa gembiranya hati isteri saya ketika itu, dan betapa remuknya hati saya pula. Namun, saya bertahan dan teruskan kerana ingin tahu sejauh mana isteri saya pergi. Daripada mesej isteri saya kepada saya yang menyamar menjadi B, ada mesej yang berbaur keluhan. Kononnya saya sentiasa sibuk, tak ada banyak masa untuk dia. Dang Setia, saya hanya peruntukkan satu malam setiap minggu untuk membina kerjaya saya sehingga larut malam. Hari lain, selepas kerja, saya gunakan untuk keluarga. Namun syaitan memang begitu, membesar-besarkan sesuatu yang boleh merosakkan umat. Setelah beberapa mesej saya terima, akhirnya saya tak dapat bertahan lalu saya dedahkan apa yang saya dapat daripada mesejnya. Dipendekkan cerita, isteri saya mengakui kesilapannya dan memohon maaf. Saya maafkan. Hati saya sedikit lembut kerana beliau sebenarnya hanya dipermainkan oleh saya yang menyamar menjadi B.


Beberapa bulan lalu, saya rasa tidak selesa dan hati saya meronta-ronta untuk mengetahui adakah isteri saya benar-benar insaf. Ini kerana, saya ternampak dalam bil telefonnya, satu nombor luar daerah yang mempunyai masa berbual agak lama.


Allah nak tunjuk agaknya, entah maca mana, satu hari saya terpandang telefon bimbitnya dengan satu nama lelaki di muka telefon. Agaknya, dia lupa nak balik ke menu asal selepas membuat panggilan. Bila saya periksa nama dan nombor itu, ia sama seperti yang saya jumpa dalam bil. Berderau darah saya. Ketika saya sibuk di tingkat bawah, agaknya dia sibuk menghubungi lelaki itu. Saya namakan sebagai Z. Ketika sarapan pagi, saya tanya isteri saya siapa Z? Dia kata tak kenal... hmm.. mustahil. Saya desak, baru dia kata, itu kawan lama ITM... saya musykil, mana ada ITM keluarkan doktor perubatan pada 1980-an? Macam-macam alasan isteri saya buat. Dia pujuk saya, dia kata kawan lama di ITM, tak ada apa-apa dan hanya berhubung sekali.


Selang beberapa minggu, hati saya tak sedap lalu saya periksa telefon bimbit isteri, ada satu panggilan keluar ke nombor Z, dan ada satu mesej daripada Z bertanyakan “naperrr...” Saya bukan bodoh, isteri saya kata dia tertekan nombor itu. Saya terima alasan itu tapi saya terfikir mengenai mesej “naper...” Isteri saya kata Z kawan lama dan hanya sekali mereka berhubung, tapi jawapan “naperr..” seperti itu biasanya untuk orang yang biasa berhubung dan mesra. Saya mula mengatur strategi. Dipendekkan cerita, siasat punya siasat, rupa-rupanya isteri menjalin hubungan sulit dengan Z. Z juga teman lelaki lamanya yang dia jumpa semula dalam facebook. Namun isteri saya pandai, dia tak bercinta dalam facebook tapi membuka satu akaun e-mel baru dengan nama yang nampak macam e-mel kerja. Allah nak tunjuk, saya dibantu oleh sahabat yang pandai bidang IT, kami berjaya mengesan kata laluan facebook dan e-mel isteri saya.


Terkejut dan kecewanya saya. Kata laluan yang digunakan adalah kombinasi nama isteri saya dan nama Z. Ya Allah! Ini bukan hubungan biasa. Saya berjaya membaca e-mel mereka. Alangkah kecewanya saya bila membaca satu e-mel isteri saya kepada Z yang dimulai dengan lagu Maher Zain-Till The End Of My Life. Hancur luluh hati saya. Dalam kesibukan isteri saya, dalam diam, dalam kepura-puraan, rupa-rupanya bercinta. Bila kisah ini berjaya saya bongkar, isteri saya merayu-rayu memohon ampun dan ingin bertaubat. Bak kata Siti, walaupun suaminya memaafkan, masakan sama hati suaminya dulu dengan sekarang... itulah hati saya. Air mata saya mengalir setiap kali mendengar lagu Maher Zain itu, terbayangkan bagaimana ia dinyanyikan oleh isteri saya di depan Z. Saya sangat kecewa dan sedih. Anak tempat saya mengubat hati sekarang ini.


Saya nasihatkan kepada mereka yang berkahwin dan sekarang bersosial dengan facebook, hentikanlah kalau ia digunakan untuk berhubung dengan bukan kaum sejenis, terutama dengan kenalan lama. Inikan pula teman lelaki lama. Percayalah, walaupun bilangan kes seperti saya ini kecil, tidak mustahil ia akan bertambah. Bayangkan, dengan usia facebook yang baru setahun jagung, banyak rumah tangga retak dan musnah, tidak mustahil banyak lagi yang menunggu musnah. Yang sudah memulakan percintaan songsang, bertaubatlah!

AZAM

Shah Alam


Petikan dari Harian Metro

5 Share Their Opinion:

Ms Virgorian said...

yg sudah kahwin tu, jagalah hati pasangan masing2, syg la dgn rumahtangga sendiri, jangan sebab fb, semua yg dibina x kira la sekejap atau lama, hancur, x berbaloi :)

nora said...

ala dik kalau da tak jujur jgn kata kat fb kat tepi jln pun bole jadi... yg sebenarnya ape2 pun terpulang kat hati masing2 jujur ke tak ngan pasangan dorg..YANG PENTING SEKALI JANGAN CEPAT PERASAN!!! KENA PUJI SIKIT JE DA LUPA DIRI...PADAHAL ORG KAT LUAR TU CUMA NAK TEST MARKET DIA N PORAK PERANDA KAN UMA TANGGA ORG..(tapi tak semua)YANG BAIK TU DATANG DR ALLAH YG BURUK TU SEBENARNYA KITA SENDIRI YG BUATTT...SOOO LU PIKIR LA SENDIRI YEA....CIAN MAMAT TU...hehehe..sabau je la n banyak berdoa...

OoNey™ said...

miss virgorian: benar kata anda itu..like2..-)

kak nora:tp pada pndapat saya manusia ni berubah mengikut keadaan sekeliling,..mungkin jika tidak ada fb dia tidak mungkin tergerak hati tuk mencari bf lama dia..niat hati mungkin just nk tgk kn..kejujuran ni sebuah bnda yang abstrak..suma org cakap dorg jujur tp sebaliknya dorg sndri yg tahu..

bab cepat perasan tu betui..hehe dorg nak mainkan aja..kepada perempuan kt luar, hargai la laki anda..rugi buat kenduri, bercinta bagai nk rak, byr hntran puluh2 ribu, pegi kursus kawen last2 cerai dek fb yang free registrationnya

nora said...

perghhh...untung sape dpt ko...hehehe ni mesti setia ni...bagus..bagus..cam akak...tapi kalau Allah nk bagi dugaan bermacam rupa dik...fb tu salah satu dugaan jugak tuhhh...so macam mane kita nak control benda tu terpulang la atas keimanan masing2..kalau cinta..kasih.. kita pd pasangan mmg kuat n ikhlas..akak rasa datang la ape BENTUK rupa godaan n dugaan pasti bole harungi...cehhh...berbunge2 ler..tu pasallll kalau nk cari jodoh bior ler org tu mmg sayang bangat kat kita n kita pun sayang sesangat kat dieee..

OoNey™ said...

kak nora:hahaha yeke untung..insyallah untung kot kak..hahaha sedang mencoba untuk setia ni kak..byk dugaan dan cobaan datang..betul tu kak.fb ni membahayakan..kita xtau sbb dorg berhubung thru alam maya..yang penting dlm hubungan, kesetiaan, percaya dan kejujuran..ada tiga element ni..kuat kot hubungan walau ujian dtg sbsar mana pun..susah tu kak nk cari org yg syg bangat sama kita..hehe